Wednesday, 17 August 2011
Bersyukur dalam apa jua keadaan...
BERSYUKUR kedengarannya mudah, namun susah untuk dipraktiskan. Ramai individu yang tersungkur, merana dan tertekan kerana tidak ada sifat syukur. Bersyukur bukan hanya ketika merasakan diri senang, namun dalam setiap keadaan kerana setiap sesuatu adalah dirancang oleh-NYA dan mempunyai maksud tertentu. Cuma, terserah kepada manusia untuk menghayati maksudnya dan cuba merungkai rahsia yang terlindung di sebalik kejadian.
Individu yang kaya perlu bersyukur kerana dilimpahi rezeki yang melimpah-ruah. Yang cantik perlu bersyukur kerana dikurniakan kesempurnaan fizikal dan yang berjaya perlu bersyukur kerana usahanya berhasil. Bagaimana pula yang sebaliknya; yang miskin, hodoh dan gagal, adakah mereka perlu bersyukur??
Di sinilah ramai yang tersilap mentafsir. Ramai yang menyesali dan mengutuk kekurangan diri, menyalahkan takdir dan mencari kesalahan orang lain. Mereka gelisah, sedih dan tertekan dek kekurangan diri dan kesusahan yang dilalui. Mereka lupa kelebihan-kelebihan lain yang dimiliki, kesempurnaan fizikal yang dikurniakan dan kemampuan akal yang ALLAH anugerahkan.
Secara disedari atau tidak, sebenarnya DIA telah mengurniakan kepada kita banyak nikmat di dunia ini. Nikmat itu tidak ternilai harganya kerana kita tidak akan dapat meraih sebarang nikmat pun, kecuali dengan kehendak, ketentuan dan izin-NYA. Nikmat yang dimiliki adalah untuk dihayati dan disyukuri, bukan diagung-agungkan kepada manusia lain.
Namun, dalam pada itu, jika kita diuji dengan kekurangan, musibah atau kesusahan, janganlah cepat berkeluh-kesah dan merintih. Percayalah akan kuasa dan ketentuan-NYA. Bersabarlah menempuhi segala dugaan. Dalam kita menghadapi ujian-NYA itu, pandanglah juga nikmat dan rahmat yang masih kita miliki.
Individu miskin tidak perlu mengeluh atasa kemiskinan dan menyesali nasibnya. Ini kerana di sebalik kemiskinannya, DIA menganugerahkan beribu-ribu kelebihan lain; anak-anak yang sihat, fizikal yang sempurna, akal yang waras dan tempat tinggal yang aman. Individu hodoh juga tidak perlu menyesali takdirnya dilahirkan begitu, kerana dia masih dikurniakan kesihatan, kecerdasan serta keluarga yang menyayangi.
Mereka yang gagal juga tidak boleh merintih kesedihan dan menyalahkan orang lain kerana gagal itu adalah permulaan bagi dirinya, pembuka jalan kepada kejayaan dan titik pelajaran baginya. Gagal tidak bermakna hidupnya telah berakhir dan TUHAN tidak menyayanginya. Bahkan, itu adalah pengajaran kepadanya dan bukti kasih sayang TUHAN yang mahu dirinya terus mencuba dan yakin dengan kuasa-NYA.
Jika pula ditakdirkan kemalangan atau kecelakaan menimpa diri, janganlah terus-terusan menyalahkan takdir, menyesali nasib diri dan berharap keajaiban akan berlaku. Yang penting, terimalah dugaan dengan hati yang terbuka, cubalah sesuaikan diri dengan situasi yang baru dan jangan lupa mensyukuri nikmat-nikmat lain yang dikurniakan oleh-NYA kepada kita.
Kita mungkin diuji dengan ketidakupayaan fizikal seperti lumpuh, namun kita masih boleh melihat, mendengar dan merasa. Hargailah nikmat yang masih dimiliki. Bayangkanlah insan-insan lain yang lebih teruk daripada kita. Nikmatilah setiap nafas kehidupan ini dengan dada yang lapang dan jiwa yang tenang, Insya-ALLAH kita akan berbahagia.
Oleh itu, tidak ada sebab mengapa kita tidak boleh bersyukur. Bersyukurlah dengan rezeki yang dikurniakan walaupun sedikit, suami atau isteri yang dikahwini walaupun banyak kekurangan atau keamanan yang dinikmati walaupun ada kala bergolak. Orang yang tahu bersyukur akan bahagia hatinya, tenang jiwa dan sentiasa basah lidahnya dengan memuji ALLAH. Hitunglah rahmat ALLAH dan jangan berputus asa daripada rahmat-NYA.
Realitinya, jika kita cuba menghitung rahmat-NYA, ia tidak akan dapat terhitung kerana terlalu banyak dan besarnya rahmat serta nikmat-NYA. Segala yang kita miliki sekarang adalah atas belas Ihsan serta rahmat ALLAH.
Di dalam al-Quran, Allah berfirman yang bermaksud:
" Dan DIA memberikan apa yang kamu mohon daripada-NYA, dan jika kamu menghitung nikmat ALLAH, tidaklah dapat kamu mengiranya."
-Surah Ibrahim ayat 34
Labels:
renungan hati..
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
sue...citer la sal kue2 raya yg ko wat..ur life..aku mo taw sayang...apa kabar mu skrg??what ur story...love u bebeh=)))
ReplyDeletemalu aku mau mengisahkan kisah idupku d sni..klau d diary tuk santapan sendirian berhad xpa ar..mcm ko xkenal aku..aku kan pmalu..hak3x..xpa2...tapi permintaan akan dipenuhi..tgl tunggu masa jak..mau fkir dulu ya apa yg mau diceritakan..hek2..love u too babe =p
ReplyDelete